Pages

Thursday, 2 May 2013

Sahabat, kau tabah...


Syafiq senang bermain dengan adik-adiknya. Keluarganya datang melawatnya di asrama. Syafiq kadang-kadang tergelak melihat telatah adik-adiknya. Ibunya setia melayan kerenah Syafiq dan adik-adik. Syafiq perasan yang ayah dan ibunya seperti ada masalah. Ayahnya kurang berbicara, cuma tersenyum dan menjawab apabila perlu. Hati Syafiq rasa ada sesuatu dengan ayah dan ibunya, mahu ditanya, tapi tidak berani.

Hari sudah semakin senja, keluarga Syafiq mula beransur pulang. Ayahnya ada cicipkan wang lebih dari kebiasaan kerana tiga minggu Syafiq tidak pulang kerana sibuk untuk membuat persedian untuk peperiksaan yang bakal menjelang tidak lama lagi.

"Jauh termenung." Satu suara menggetarkan gegendang telinga Syafiq. Syafiq menoleh kebelakang, kemudiannya tersenyum. Irfan, sahabat baiknya di sini. Irfan baru lepas mandi. Jelas kelihatan ramabutnya basah. Baru dia perasan yang sudah sepuluh minit dia merenung ke luar tingkap. Entah apa yang difikirkan.

"Jauh tak lah jauh mana. Takat asrama puteri itu saja." Sempat Syafiq berseloreh sambil memuncung ke arah luar tingkap.

"Sudah terpikat dekat mana-mana mawar berduri di sebalik pagar dawai besi ke? Alamatnya kena gagal dululah." Irfan hanya mengikut rentak sahabatnya berseloreh. Pelajar perempuan sekolah mereka memang rapi terjaga oleh pihak sekolah. Jarak antara asrama mereka bagaikan langit dan bumi. Kelas mereka memang telah terasing. Masa rehat juga tidak serentak. Pelajar lelaki akan diberi laluan dahulu. Perjumpan pelajar lelaki dan perempuan akan bertemu cuma pada waktu perhimpunan - itupun dipisahkan dengan tirai - , mesyuarat MPP dan jika ada sebarang majlis atau program.

"Mana ada. Hati belum terbuka untuk mana mawar. Hati ini tetap terkunci dengan cinta yang agung sahaja." Syafiq memutuskan untuk berhenti berseloreh.

"Afiq, cepat pergi mandi. Sebelum solat Maghrib, kita jumpa Ustaz Muhammad untuk tasmi' al-Quran. Nanti lambat tak sempat pula. Rugi." Irfan menyarung baju melayu dan kain pelekat.

"Baiklah, encik Irfan Farhan." Syafiq tersengih sambil mengambil tuala yang tersangkut di kepala katil.

******

Fikiran Syafiq blank, terkejut mendengar berita daripada ayahnya ketika menelefon ayahnya tadi. Syafiq menyadar di kepala katil. Memikirkan masalah yang sungguh berat dirasanya. Selaku anak sulung, dia risau memikirkan keadan adik-adiknya.

"Syafiq, apa yang difikirkan itu. Pelik saja abang tengokkan." Seniornya, Abang Idham menggoncangkan kakinya. Syafiq hampir melatah tapi ditukarkan kepada istighfar sambil melerut lembut dadanya.

"Tak ada apa-apa lah, abang Idham." Syafiq cuba menyembunyikan perkara sebenar. Mukanya dicover sebaik mungkin supaya abang Idham tidak mensyakki apa-apa. Tapi usahanya sia-sia. Abang Idham tetap boleh menghidu permasalahan yang dihadapi oleh Syafiq. Masakan tidak abang Idham ini naqibnya dalam usrah, lagipun abang Idham ini agak rapat dengannya.

"Ya ke? Abang tengok dari mata Syafiq ini macam ada masalah sebesar bangunan ini sahaja." Abang Idham memang terkenal dengan menceriakan suasana dengan pelbagai lawak dan tersohor dengan kepakaran menambat hati orang.

"Kalau saya ceritakan pun, abang Idham tak boleh bantu." Syafiq tetap tidak mahu bercerita.

"Kalau Syafiq tak cerita mana Syafiq tahu yang abang nak bantu." Abanag Idham terus memujuk.

Syafiq terdiam seketika, kemudiannya menarik nafas dalam-dalam. "Ayah dan ibu saya bercerai. Saya risaukan keadaan adik-adik saya." Ujar Syafiq terselit sebak.

Abang Idham tekedu sebentar. Memerah otak untuk berbicara sesuatu. "Syafiq, kamu tahu kisah sahabat baikmu, Irfan?" Tenang abang Idham menutur kata.

"Kisah? Kisah apa abang?" Hairan.

"Kamu tahu Irfan punya ayah tiri?"

"Ya, saya tahu."

"Kamu tahu ayah tirinya bagaimana?" Syafiq cuma menggeleng. Setiap kali dia mahu mengetahui cerita tentang keluarga Irfan, pasti Irfan mengubah topik lain. Jadi, Syafiq memutuskan tidak bertanya lagi kerana takut menyinggung perasaan sahabat baiknya.

"Ayah tirinya sangat zalim, panas baran dan tidak mempunyai hati perut. Ayah tirinya sentiasa mendera ibunya sehingga menjadikan ibunya sebagai seorang orang gaji. Setiap hari tidak sah kalau badan dua beranak itu tidak dipukulnya. Setiap kali ayah tirinya mendengar nama ayah kandung Irfan pasti disepak terajang dan dilibas dengan tali pinggang. Tubuh badan sahabatmu itu seperti sudah tiada deria sakit lagi. Sudah lali dengan sebatan dan sepak terajang" Abang Idham bercerita sungguh menusuk hati. Mata Syafiq bergenang.

Syafiq teringat ketika balik ke asrama, masa itu dia memegang tangan sahabatnya. Irfan pelahan menarik semula. Ternampak jelas jalur berwarna biru, apabila di tanya pelbagi jawapan diberinya. 

"Tapi sahabatmu itu sungguh hebat imannya. Sungguh tinggi sabarnya. Tidak pernah merungut, malah sentisa ceria. Kisah hidupnya tidak pernah mematahkan perjalanannya dalam urusan dakwah di sekolah ini. Bukankah Irfan yang membawa kamu kepada cahaya kebenaran?" Syafiq mengangguk pelahan. 

"Sesungguhnya, cabaran yang dilalui olehnya lagi hebat daripadamu. Jadi, abang nasihatkan jangan kau bersedih, kuatkan imanmu dan pandanglah kehadapan. Allah tidak akan memberi satu ujian kepada hambanya jika hambanya tidak dapat menampung dugaan itu." Abang Idham meletakkan tangannya di atas dada Syafiq. Setitis-setitis air matanya jatuh, menginsafi diri. Abang Idham mengusap kepalanya cuba meredakannya.

Kebetulan Irfan baru pulang dari bilik warden, Syafiq pantas menerpa ke arah Irfan lantas memeluknya erat. Irfan terpinga-pinga. Irfan memandang abang Idham tersenyum dan mengangguk, Irfan faham yang abang Idham menceritakan kisahnya. Irfan membalas pelukan sahabatnya. Erat. Kehangatannya terasa ada satu kuasa yang cas-cas kelemahan diri.

"Sahabatku, kau tabah. Aku tidak mungkin dapat menampung penderitaanmu. Kau hebat, sahabatku." Syafiq masih menangis. Hampir lenjur baju Irfan.

"Jangan mengaku orang beriman sebelum diuji. Sudahlah, sahabatku. Tak macho menangis begini." Irfan cuba menenagkan sahabatnya. Pelukan terurai. Syafiq mengesat air hujan pada matanya. Mereka berdua ketawa bersama.

Mereka akhirnya menjadikan kisah hidup mereka sebagai peransang untuk menjadi lebih baik dari hari sehari.